~Kasih Bola~


Di sebuah pondok kecil, terlihat kelibat dua makhluk Allah yang sedang duduk. Ada sesuatu sedang berlaku di situ. Burung-burung yang berterbangan di udara seolah-olah merakam detik yang berharga itu lalu disimpan sebagai bukti kepada Pencipta di Mashyar nanti. Lalang-lalang bertiup lembut seakan-akan  petanda bahawa impian besar bakal tercipta. Segalanya di sini, di pondok kecil dan usang.                

“Malek tengah tengok apa tu? “ soal seorang atuk kepada cucu yang sedang duduk di sebelahnya, asyik melihat sesuatu di hadapan.                

“Malek tengok budak-budak kat sana. Seronok mereka,dapat kasut bola. Malek takde pun.” Jawab cucu dengan nada yang agak menyelirukan atuknya. Ah, apa lagi alasan yang perlu diberitahu agar kemahuan cucunya itu dapat dibantutkan. Sebagai seorang yang bergelar atuk, dia bukan tidak mahu memenuhi kemahuan cucunya,  tetapi keadaan amat tidak mengizinkan.                

  “Kan arwah ibu Malek ada bagi kasut dulu. Dah lupa ?" soal atuk.                

“Itu kasut sekolah la tok. Mana best nak buat main bola kat padang.” Keluh cucu.               

  “Ala, asalkan boleh main bola kan. Atuk ada satu perjanjian dengan Malek. Kalau Malek dapat tunaikan syarat perjanjian ini, atuk akan belikan kasut bola untuk Malek. Boleh ?” tiba-tiba idea itu menerjah di benak fikiran.                

Tumpuan Malek segera berubah ke arah atuknya. Hatinya benar-benar tertarik dengan kata-kata atuknya sebentar tadi. Air botol yang dipegang sejak tadi diletakkan di sisi. Ada perkara penting perlu didengari dan diperhalusi. Segala tentang bola amat bermakna baginya. Ibunya meninggal dunia  kerana bola. Atuknya, Najib Jaafar  juga bekas pemain bola yang amat dia sanjungi walaupun hanya  sempat  beraksi di peringkat negeri sahaja. Bola adalah perkataan azimat yang sentiasa menjadi pendorong di kala manusia mengherdik dan melontarkan tohmahan kepada keluarganya. Semuanya bola.  

             

“Sebelum atuk benarkan Malek main bola, atuk nak tanya. Malek betul-betul pilih bola sebagai cita-cita Malek?” soal atuk.                

“Sebenarnya tok, Malek nak jadi ustaz bila besar nanti. Tapi minat Malek betul-betul pada bola. Biarlah apa orang nak cakap, Malek tetap pilih bola. Tapi Malek juga nak jadi pendakwah. Boleh ke tok berdakwah dengan bola?"                

Tersentak dengan soalan cucunya itu, si atuk segera mengatur kata-kata yang seterusnya. Jauh sungguh pemikiran cucunya walaupun baru berusia 15 tahun. Seteguk air ditelan lalu bersedia menjawab persoalan cucunya sebentar tadi. Dalam hati dia berdoa, moga kelak cucunya tidak senasib dirinya. Anaknya  meninggal dunia di saat dia sedang bermain bola di stadium. Tiada siapa yang mahu pergi ke padang dan memberitahunya. Habis perlawanan , barulah dia mendapat berita tentang kemalangan yang berlaku kepada anaknya. Hanya Malek yang sempat bertemu dan mendengar permintaan terakhir anaknya, Sofea di hospital.                “Jaga atuk. Ingat, kalau main bola, main betul-betul kerana Allah. Tutup aurat, jangan tinggal solat.Cakap kat atuk ibu minta maaf sebab tak sempat nak tengok atuk main bola di stadium.” Pesanan itu hanya sempat didengari  daripada mulut cucunya, Malek. Kekesalan memenuhi jiwa lantas dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada bermain bola. Tawaran untuk bermain sebagai pemain kebangsaan ditolak mentah-mentah. Namun tidak disangka, minat dan bakatnya itu turun kepada cucunya.

Teringat peristiwa di saat Sofea dirogol dan penjenayah itu gagal dikesan, ramai penduduk kampung yang menuduh anaknya itu melakukan hubungan terlarang denganya. Usia anaknya ketika itu baru berusia 15 tahun. Walaupun Malek lahir bersama tuduhan dan cacian manusia, dia tidak sedikitpun membenci cucunya itu. Malah ditatang bagai minyak yang penuh dan diberikan ilmu agama yang cukup. Hanya Al-Quran sahaja yang masih belum dihafal oleh cucunya itu.           

  

  “Boleh Malek. Dakwah itu sangat luas. Tapi Malek kena janji dengan atuk, Malek kena hafal Al-Quran sampai habis baru  Malek boleh main bola. setuju ?” Jawabnya ringkas.              

  “Betul ke tok? Kalau Malek Berjaya hafal Al-Quran, atuk bagi main bola? Boleh dapat kasut bola?” soal Malek dengan bersungguh-sungguh. Ada sinar harapan terbit daripada kelopak matanya.             

   “Hanya dengan berbekalkan ayat suci itu dalam hati Malek, atuk dapat jamin yang Malek boleh pergi jauh. Atuk doakan Malek dapat buktikan sesuatu pada manusia lain bahawa Malek mampu berjaya.”  Tanpa disedari  air jernih segera menerjah pipinya. Pilu rasa hati bila memikirkan nasib cucunya itu tika dia sudah tiada lagi di dunia. Hanya itu yang menjadi nasihat dan bekalan buat cucunya. Dia tidak punya banyak harta, tanah mahupun ilmu. Sekadar nasihat dari insan bergelar atuk.                

“Baiklah tok.Malek akan buktikan kerana Allah. Malek akan berdakwah dengan bola. Moga dakwah Malek direstui Ilahi. Jom tok kita balik, dah tak sabar nak hafal Quran. Hehe..” ketawanya sendirian. Moga dengan suara gembiranya itu dapat menyekat air mata atuknya yang mengalir sejak dari tadi.                

  Impian disemat dan disimpan di dada iman. Hanya Allah segala perancangan diserahkan. Atuk, Malek akan buktikan pada semua. Atuk tunggu yek!


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "~Kasih Bola~"

Post a Comment

Powered by Blogger.