~Manusia Mulia~




Di satu celahan lorong, duduk seorang insan bergelar yahudi, sedang menunggu datangnya manusia mulia itu. Dalam penantian, perutnya bergendang sakan seolah-olah sedar dan yakin bahawa manusia mulia itu pasti datang dengan membawa sedikit rezeki untuk dihadam. Sudah sekian lama rasanya dia hanya bergantung harap pada manusia mulia itu. Walaupun tidak pernah memandang dan menatapi wajah manusia mulia itu, namun seringkali timbu secebis rasa kagum dan sayang padanya. Sukar sekali bertemu insan seperti itu di zaman belenggu jahiliah ini. Manusia mulia itu bagaikan seorang anak yang sentiasa berada di sisi seorang ayah, mendengar segala keluh kesah yang ditanggung si insan yahudi. Setiap kali manusia mulia itu datang untuk memberinya sesuap rezeki, insan yahudi tidak putus-putus menceritakan perihal seorang ahli sihir yang dikatakan mempunyai ilmu sihir yang hebat. Insan yahudi sentiasa menasihati manusia mulia itu agar tidak mendekati ahli sihir tersebut. Dia berfikir sejenak, alangkah jauhnya beza akhlak antara mereka.

“Jangan kamu sekali-kali mendekati Muhammad. Kata-katanya mampu membuat kamu terpukau dengan tipu helahnya,” kata insan yahudi. Manusia mulia hanya mendengar nasihat itu dengan tenang dan tersenyum. Ada terselit doa dalam hatinya.

“Aku khuatir sekiranya kamu mendekatinya, kamu akan berubah menjadi jahat sepertinya. Sayang sekali jika insan sepertimu terpedaya dengan kata-katanya,” tambah insan yahudi sambil mulutnya memamah rezeki yang disuap manusia mulia. Terasa nikmat kerana rezeki itu terlebih dahulu dilumat menjadi cepisan kecil agar mudah ditelan insan yahudi. Perkara itulah yang sering dilakukan manusia mulia sebelum menyuapnya ke dalam mulut insan yahudi.

Detapan kaki manusia menyentap lamunan silam insan yahudi. Terdengar detapan kaki itu kian dekat menghampirinya. Di kira, itulah manusia mulia yang sering melawatinya. Ucapan syukur terbit di hati insan yahudi, sebentar lagi dapatlah ia menjamah sedikit rezeki kurniaan manusia mulia itu.

“Aku yakin kau akan datang,” kata insan yahudi.

“Perutku sudah terasa sangat lapar sekali,” sambungnya.

Tanpa berlengah, insan yang disangka manusia mulia itupun duduk dan bersedia menyuapinya. Sebelum itu, insan yahudi terlebih dahulu menasihati dan menyambung kembali cerita mengenai keburukan manusia bernama Muhammad itu. Rasa benci bertambah terhadap manusia itu setiap kali dia menceritakannya. Jauh di sudut hatinya dia berasa lega kerana sepanjang hidupnya, dia belum pernah bertembung dengan manusia itu.



Suapan demi suapan menyedarkan insan yahudi akan sesuatu. Rezeki yang dijamahnya tidak terlebih dahulu dilumat menjadi cepisan kecil seperti kebiasaannya dilakukan oleh manusia mulia. Terlalu sukar untuk menelannya. Ini bukan manusia mulia itu!

“Kau bukanlah orang yang sering memberiku makan. Siapakah kau sebenarnya?,” Tanya insan yahudi tanpa berselindung.

“Namaku Abu Bakar. Bagaimana kau mengetahui bahawa bukan aku yang sering memberimu makan?,” Tanya Abu Bakar As-Siddiq. Timbul rasa kehairanan dalam dirinya. Dia bersungguh-sungguh ingin melaksanakan saki-baki sunnah yang masih belum dilakukannya. Tetapi tidak diramal, ada perbezaan yang ketara antara dia dan manusia mulia.

“Orang yang sering memberiku makan akan terlebih dahulu melumatkan rezeki itu sehingga mudah untuk aku menelannya,” jawab insan yahudi.

“Kenalkah kau padanya?,” tanya Abu Bakar.

“Tidak. Adakah kau mengenalinya?,”

Ketahuila wahai orang tua yahudi bahawa yang sering memberimu makan itu adalah manusia yang kau hina  di depan dirinya sendiri. Dia telah wafat.,” jawab Abu Bakar.

“Apakah maksudmu itu?,” Tanya insan yahudi.

“Dialah Muhammad!”
Terkesima mendengar jawapan itu, tanpa disedari ada air jernih menerjah pipi insan yahudi. Terpaku dirinya kerana terlalu terharu dan kagum dengan akhlak manusia mulia itu yang juga insan yang sering dihinanya, Muhammad Bin Abdullah. Terbit sebutir mutiara putih bersinar di dalam hatinya, yang selama ini tidak pernah dirasakan kehadirannya. Pintu hati yang selama ini tertutup tiba-tiba terbuka luas hanya kerana akhlak seorang manusia agung. Lantas insan yahudi berkata kepada Abu Bakar;

“Saksikanlah wahai Abu Bakar, bahawa sesungguhnya aku menyaksikan tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah!”

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "~Manusia Mulia~"

Post a Comment

Powered by Blogger.